Bulan mencari kesempurnaan solat

KEMPEN Bulan Solat? Timbul persoalan apabila ada masjid – saya rujuk Masjid Bandar Seri Putra (MBSP), Kajang menganjurkan kempen berkenaan mulai 1 Februari 2022.

Bagi yang tidak berfikir panjang sama ada secara sinis atau sebaliknya mungkin akan berkata, bulan lain tidak solat?

Hakikatnya, solat tetap kena solat tidak kira bulan. Rukun Islam yang kedua itu tanggungjawab setiap muslim. Lima kali sehari. Tidak terkecuali sama ada yang sihat atau sakit, wajib solat setiap hari bukan hanya sekali seminggu pada Jumaat.

Justeru jangan ‘gelabah, cemas’ atau sengaja menimbulkan persepsi ‘tidak sihat’ apabila kempen seumpama ini diadakan oleh mana-mana pihak.

Lainlah dengan ‘bulan puasa’ (rujuk Ramadan) yang sebulan diwajibkan puasa manakala pada bulan lain, lebih-lebih lagi pada bulan Rejab dan Syaaban disunatkan khusus pada hari-hari yang tertentu.

Sebelum ini pun kita ada macam-macam ‘bulan’ seperti Bulan Dakwah, Bulan Zakat, Bulan Faraid, Bulan Bahasa, Bulan Kemerdekaan, Bulan Kualiti, Bulan Membaca, Bulan Sukan dan pelbagai lagi.

Maka tidak bermakna pada bulan-bulan itu sahaja kita berdakwah, berbahasa, merdeka, berkualiti, membaca, bersukan dan sebagainya. Sebaliknya lihatlah pengisian pada bulan penganjuran aktiviti berkenaan.

Begitu jugalah dengan penganjuran Kempen Bulan Solat yang akan memfokuskan pelbagai aktiviti berkaitan solat yang sasaran akhirnya menjadikan solat seseorang itu lebih berkualiti dan pada masa yang sama meningkatkan kuantiti .

Banyak ‘rahsia’ solat yang perlu digali dan dijadikan amalan supaya ‘tiang agama’ ini benar-benar kukuh, tidak goyang.

Bagi MBSP, Kempen Bulan Solat berlangsung sepanjang Februari ini yang juga bertepatan pada Rejab, bulan berlakunya Isra dan Mikraj, dan dari peristiwa itu bermulanya perintah melakukan solat dari 50 waktu kepada akhirnya lima waktu.

Antara pengisian yang dibuat adalah sepanjang kuliah Subuh dan Maghrib bulan ini akan dikhususkan kepada isu-isu berkaitan solat.

Membuka tirai kuliah semalam, tajuk yang dibincangkan adalah Erti Surah al-Fatihah dalam solat diikuti pada malam ini Mencari kusyuk dalam solat.

Tajuk lain termasuk Malu melewatkan solat, Maqasid solat menurut Islam, Seruan solat dalam al-Quran, Kepentingan solat berjemaah, Fadhilat solat malam, Balasan orang yang lalai tinggalkan solat, Keistimewaan solat Dhuha dan Sunnah nabi dalam solat.

Mungkin ada tajuk-tajuk itu sudah biasa didengar tetapi lumrah manusia sentiasa lalai dan sering perlu diperingatkan.

Selain Subuh dan Maghrib, turut diadakan lapan program Qiamullail, Kuliah Duha berkaitan solat dan wuduk, Daurah Kitab, Ceramah Israk Makraj, 1 waktu solat 1 muka surat al-Quran serta berbuka puasa Isnin dan Khamis di masjid.

Hakikatnya, banyak rahsia solat bermula dengan berwuduk yang perlu dipelajari atau diperbaiki bagi memastikan solat kita benar-benar berkualiti bukan sekadar solat semata-mata.

Begitu juga dengan pelbagai ‘rahsia’ solat sunat yang perlu ditingkatkan kuantiti bagi mendapat ganjaran yang ditawarkan.

Tidak dinafikan, kadang-kadang gerak geri atau perbuatan serta bacaan ketika solat kita kurang tepat atau tidak sempurna tetapi masih boleh diperbaiki lagi bagi menjadikannya lebih berkualiti.

Dan yang penting bagaimana kita mahu memanfaatkan hikmah dan ganjaran solat itu supaya kita tidak berlengah mengerjakannya lebih-lebih lagi secara berjemaah khususnya di masjid atau surau.

Berusahalah meletakkan diri kita sebagai rakan tetap masjid pada setiap waktu. Semoga kita tidak lalai dalam mendirikan solat.

Related posts

Leave a Comment