517,107 kanak-kanak daftar PICKids

KUALA LUMPUR 2 Feb. – Setakat semalam, seramai 517,107 kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun di seluruh negara telah mendaftar bagi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) yang bermula esok.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata jumlah tersebut dianggarkan 15 peratus daripada jumlah kohort 3.6 juta kanak-kanak di negara ini yang layak menerima vaksin jenis Pfizer-BioNTech.

Katanya, pendaftaran tersebut dibuat oleh ibu bapa masing-masing bagi PICKids yang  akan dilaksanakan bermula 3 Februari.

“ Permulaan yang baik, dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus menyampaikan kebaikan mendapatkan vaksinasi,” tulisnya dalam kemas Twitternya hari ini.

Khairy  berharap hampir separuh kanak-kanak di Malaysia akan mendapat vaksin pada penghujung Februari ini.

Bagi mencapai sasaran tersebut, beliau menambah Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) di bawah Timbalan Menteri Kesihatan 1, Dr Noor Azmi Ghazali akan bekerja keras dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

Berdasarkan data yang dikongsi, Selangor mencatatkan pendaftaran paling tinggi iaitu lebih 131,000 orang, diikuti Johor (81,400) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (47,500).

Tiga negeri yang mencatatkan pendaftaran vaksin kanak-kanak terendah setakat ini ialah Wilayah Persekutuan Labuan sekitar 900 orang, Perlis (1,900), dan Putrajaya (3,400).

Sebanyak tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka di Lembah Klang mulai esok iaitu melibatkan World Trade Centre (WTC); Axiata Arena, Bukit Jalil; dan Ideal Convention Centre, Shah Alam.

Sementara, 25 lagi PPV akan mula beroperasi pada 5 Februari.

Related posts

Leave a Comment