PRN Johor bukan kehendak ‘kluster’

SEREMBAN 29 Jan. – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan atas pelbagai sebab strategik dan bukannya kehendak ‘kluster’ tertentu dalam UMNO, kata Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan.

“Pihak tertentu yang menuduh ‘kluster’ itu dan ini sebagai penyebab kepada PRN Johor adalah sangat tidak munasabah. Istilah itu hanya ciptaan musuh UMNO,” katanya.

Beliau berkata, Menteri Besar Johor, Hasni Mohamad mempunyai sebab tersendiri bagi mendapat mandat baharu dan itu bukan urusan parti lain untuk mempersoalkannya.

Katanya, Hasni diberikan kepercayaan sepenuhnya oleh parti untuk menasihati Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, sesuai dengan keadaan dan keperluan, bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

“UMNO bukan seperti parti lain. Tiada ‘wala’ kepada Presiden dan tiada seorang yang berkuasa memutuskan segala-galanya. Ia adalah parti untuk semua dan bukan dikuasai kelompok tertentu,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Presiden Pas, Abdul Hadi Awang menyifatkan PRN Johor diadakan adalah strategi pihak tertentu dalam kalangan kepemimpinan UMNO iaitu kluster mahkamah, kluster yang kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan tidak memegang jawatan dalam kerajaan.

Abdul Hadi menyifatkan ia suatu tindakan tidak bermoral dan bukan strategi yang baik tetapi dilakukan segelintir pihak yang didakwanya dilakukan oleh kluster mahkamah.

Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, apabila UMNO menarik sokongan terhadap bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, hanya 12 Ahli Parlimen UMNO akur dan ia menunjukkan UMNO sebuah parti yang demokratik.

“Bagi mereka yang menggelar UMNO dengan pelbagai gelaran, itik, angsa, harimau dan sebagainya, gelarlah dengan pelbagai gelaran apa pun. UMNO masih lagi parti Melayu terbesar.

“Kami bangkit semula bukan kerana ‘ubatan mujarab’ PAS tetapi kerana dukungan orang Melayu terhadap UMNO dan kerana buruknya prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) serta Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Tegas Mohamad, tanpa UMNO, Pas juga tidak boleh menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan hari ini.

“Jika Pas merasakan BN tidak lagi relevan, kita pulangkanlah kepada rakyat untuk memutuskannya dan biarlah rakyat memutuskan sama ada Pas dan PN itu relevan lagi atau atau tidak,” katanya.

Related posts

Leave a Comment