Umrah dibenarkan semula 8 Februari

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Bakal jemaah serta agensi umrah sudah pasti menarik nafas lega apabila Kabinet hari ini membuat keputusan membenarkan umat Islam kembali mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Februari ini.

Keputusan itu dibuat setelah kerajaan tidak berhasrat melanjutkan penangguhan sementara ibadah umrah yang berkuat kuasa 8 Januari lalu berikutan penularan jangkitan Omicron.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Nancy Shukri bagaimanapun berkata, garis panduan prosedur operasi standard (SOP) baharu akan dibincangkan secara terperinci termasuk bersama agensi umrah.

“Baru tadi kami buat keputusan seperti mana dinyatakan dahulu yang penangguhan umrah hanya satu bulan sahaja jadi bermula 8 Februari ini bolehlah agensi pelancongan umrah meneruskan aktiviti umrah,” katanya.

Bercakap kepada media selepas pelancaran Video Dream Malaysia hari ini, beliau berkata, SOP baharu akan dibincang bagi memastikan apabila jemaah balik dari Tanah Suci, mereka dapat pilih di mana hendak dikuarantin.

Sebelum ini Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mengumumkan kerajaan menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Januari lalu berikutan penularan jangkitan Omicron.

Mengenai penerbangan pertama bagi jemaah umrah bermula 8 Februari ini, Nancy berkata ia masih belum diputuskan.

“Tapi mungkin agensi pelancongan umrah sudah mengetahui sebab kami sudah adakan perjumpaan dengan mereka tidak sampai dua minggu lalu. Saya rasa mereka sudah membuat persediaan untuk aktiviti atau promosi selanjutnya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment