PUTRAJAYA 24 Jan. – Malaysia mencatatkan sedikit penurunan kes harian Covid-19 dengan merekodkan 3,214 kes positif setakat tengah hari ini berbanding 3,856 semalam yang menyumbang kepada sejumlah 2,836,159 kes kumulatif.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada bilangan kes dilaporkan hari ini, 2,808 kes membabitkan penularan tempatan iaitu 2,707 warganegara (96.4 peratus) dan 101 bukan warganegara (3.6 peratus).
Kes import pula sebanyak 406 kes membabitkan 307 rakyat tempatan dan 99 warga asing.
Daripada 3,214 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 35 kes (1.1 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima; dan 3,179 kes (98.9 peratus) lagi terdiri daripada kategori satu dan dua.
Seramai 146 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 65 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan mengesan sembilan lagi kluster jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah kluster dikesan sebanyak 6,315 dimana 6,081 kluster sudah diisytiharkan tamat manakala 234 kluster masih lagi aktif.
Pada masa sama, beliau berkata, sebanyak 3,116 kes sembuh dilaporkan menjadikan sejumlah 2,759,049 kes kumulatif atau 97.3 peratus kes sudah pulih sepenuhnya daripada Covid-19.
