Indikator tunjuk peningkatan kes

PUTRAJAYA 24 Jan. – Indikator yang digunakan untuk mengukur jangkitan Covid-19 di negara ini menunjukkan berlaku peningkatan kes baharu pada Minggu Epidemiologi (ME) 3/2022, bermula 16 Januari hingga 22 Januari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia membabitkan peningkatan 7.9 peratus apabila 23,752 kes dilaporkan sepanjang tiga minggu pertama 2022.

Bagaimanapun, dalam kenyataannya, beliau berkata jumlah kematian menunjukkan penurunan kes 19.0 peratus apabila 102 kes dilaporkan minggu lalu berbanding ME 2/2022, manakala purata kes aktif, 40,473 kes.

Purata kes aktif turut dilihat meningkat 2.4 peratus dengan purata 39,507 kes (ME 2/2011) kepada 40,473 kes (ME 3/2022).

Kes kematian menunjukkan penurunan yang konsisten sebanyak 19.0 peratus dengan 102 kematian pada ME 3/2022 berbanding 126 kematian pada ME 2/2022. Penurunan ini dicatatkan mulai ME 52/2021.

Purata kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga menunjukkan penurunan 30.3 peratus iaitu 129 kes (ME 3/2022) berbanding 185 kes (ME 2/2022).

Dr Noor Hisham berkata, penurunan kes ICU secara konsisten dilaporkan mulai ME 33/2021 dengan sedikit peningkatan kepada kes ICU pada ME 44/2021 dan penurunan semula kes ICU secara konsisten dicatatkan sejak 10 minggu lalu pada ME 45/2021.

Beliau berkata, selain itu, purata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menunjukkan penurunan 23.5 peratus iaitu 52 kes (ME 3/2022) berbanding 68 kes (ME 2/2022).

Katanya, purata itu kekal menunjukkan trend penurunan sejak 22 minggu lalu bermula ME 33/2021.

Bagaimanapun, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati, purata nilai kebolehjangkitan (RT) Covid-19 meningkat 2.0 peratus daripada 0.99 pada ME 2/2022 kepada 1.01 pada ME 3/2022.

Dr Noor Hisham berkata, kadar penggunaan katil ICU dan katil bukan ICU pula menunjukkan penurunan, manakala kadar penggunaan alat bantuan pernafasan tidak mencatatkan sebarang perubahan berbanding minggu sebelumnya biarpun kadar penggunaan katil di Pusat Rawatan dan Kuarantin (PKRC) menunjukkan peningkatan berbanding ME 2/2022.

Walaupun gelombang Omicron dijangka menyebabkan peningkatan penggunaan katil bukan ICU (hospital) untuk kemasukan jangka pendek (short stay admission) pada ME 3/2022, hanya penggunaan katil PKRC yang meningkat iaitu sebanyak empat peratus.

Penurunan ini selari dengan peningkatan peratusan populasi terima dos penggalak.

Related posts

Leave a Comment