Tiada PKP semasa Aidilfitri

BERA 23 Jan. – Kerajaan memberi jaminan tidak akan melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan untuk pulang ke kampung bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini seperti didakwa pihak tertentu.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata jika kes meningkat di sesuatu kawasan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar akan dilakukan di kawasan terbabit saja.

Katanya, walaupun penularan Covid-19 dan peningkatan kes membabitkan varian Omicron masih direkodkan di negara ini, namun ia tidak bermakna penutupan sepenuhnya aktiviti rentas negeri dan daerah akan dilakukan kerajaan.

Beliau berkata, pengumuman mengenai pendirian kerajaan berhubung perkara itu sudah dibuat sebelum ini dan hanya pelaksanaan PKPD akan dilakukan di kawasan melaporkan peningkatan kes positif Covid-19 membimbangkan.

“Kita tidak akan menutup lagi sempadan negeri dan daerah dan kita juga tidak buat PKP seluruh negara. Ekonomi kita akan buka seperti biasa, ada orang kata ekonomi akan ditutup dan itu tidak betul,” katanya selepas pertemuan tertutup bersama petugas KEMAS Daerah Bera di sini, hari ini.

Beliau  memberi jaminan tidak akan menutup lagi negara dari segi perniagaan dan sebagainya, dengan bebas seperti sekarang di mana sektor ekonomi dibuka seperti biasa, termasuk pergerakan rakyat.

Ismail Sabri bagaimanapun berkata, sebarang keputusan untuk melaksanakan PKPD akan dibuat selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kita fokus kepada ‘targeted area’ saja, katakan di Bera satu kawasan FELDA terkena, FELDA Sebertak sebagai contoh, kalau di situ ada peningkatan kes kita ‘lockdown’ atau PKPD di situ saja dan kawasan berhampiran tidak terbabit.

Related posts

Leave a Comment