KOTA KINABALU 22 Jan. – Satu lagi kluster Covid-19 berkaitan jangkitan di institusi pendidikan dilaporkan di Sabah hari ini, iaitu yang kelima dalam tempoh seminggu sejak Ahad lalu.
Kluster Jalan Bypass Kologon, dilapor membabitkan pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kundasang, Ranau.
Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Masidi Manjun, berkata kluster itu tercetus selepas seorang pelajar asrama perempuan disahkan positif Covid-19, sebelum enam lagi rakan sebilik turut dikesan positif.
Indeks kes ialah seorang pelajar asrama perempuan SMK Kundasang yang berumur 16 tahun. Dia mula bergejala pada 17 Januari 2022, kemudian melakukan ujian kendiri dan disahkan positif melalui saringan PCR.
Saringan ke atas kontak rapat yang membabitkan 70 orang dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan setakat ini enam lagi pelajar rakan sebilik kes indeks didapati positif menjadikan tujuh kes keseluruhan setakat ini.
Kesemua pesakit bagaimanapun berada dalam Kategori 1 dan 2. Mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan yang sesuai,” katanya dalam kenyataan, petang ini.
Setakat ini, kluster berkenaan mencatat tujuh kes positif Covid-19 termasuk kes indeks dengan lima daripadanya dilaporkan pada hari ini.
Kelmarin, Kluster Pandan-Pandan membabitkan kakitangan dan pelajar sebuah madrasah dilaporkan di Putatan, manakala sebelum itu jangkitan membabitkan pelajar asrama dilaporkan dalam Kluster Jalan Pertukangan, Sandakan (Rabu); Kluster Puri, Ranau (Selasa) dan Kluster Jalan Kepayan Lama, Tambunan (Ahad).
Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata jumlah kes baharu Covid-19 di Sabah meningkat kepada 218 kes hari ini, berbanding 176 semalam.
Daerah Tuaran mendahului jangkitan tertinggi sebanyak 37 kes, diikuti Kota Kinabalu 34 kes, Sandakan 21 kes, Penampang 19 kes dan Putatan 17 kes.
