Hari kedua lepasi 4,000 kes

PUTRAJAYA 22 Jan. – Jumlah kes harian Covid-19 terus melepasi angka 4,000 bagi dua hari berturut-turut dengan merekodkan 4,116 kes setakat tengah hari ini berbanding 4,046 semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan kadar jangkitan itu menjadikan jumlah keseluruhan angka penularan Covid-19 di negara ini meningkat kepada 2,829,089 kes.

Katanya, sebanyak 498 kes import direkodkan terdiri daripada 406 warganegara dan 92 warga asing.

Sebanyak 2,858 kes sudah sembuh, manakala 141 kes ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan 62 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Kementerian Kesihatan juga mengesan sembilan kluster baharu, sekali gus menjadikan jumlah kluster yang masih aktif ketika ini sebanyak 225.

Daripada 4,116 kes dilaporkan hari ini, sebanyak 4,077 atau 99.1 peratus adalah pesakit kategori satu dan dua.

Hanya 39 kes atau 0.9 peratus adalah daripada pesakit kategori tiga, empat dan lima.

Related posts

Leave a Comment