Kerajaan ‘rapuh’ dorong PRN

JOHOR BAHRU 22 Jan. – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu diadakan berikutan kerajaan negeri berada dalam keadaan ‘rapuh’, amat tidak stabil dan berada atas ihsan pembangkang, kata Pengerusi Perhubungan UMNO Johor,  Hasni Mohammad.

Katanya, beliau membuat penilaian teliti selepas kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas,  Osman Sapian, bagi mengadakan pilihan raya kecil (PRK), namun mengubah pendirian berikutan jaminan komitmen kestabilan yang diberikan pembangkang Johor.

Bagaimanapun beliau berkata, insiden pembangkang Johor yang membawa rundingan Majlis Tindakan Daerah (MTD) pada Sidang DUN Johor selepas Belanjawan Johor 2022 dibentangkan, November lalu, mengubah pendiriannya.

Ini berikutan undian itu membawa kepada keputusan seri 27 sama tetapi, Speaker DUN, Suhaizan Kaiat memutuskan untuk berpihak pada kerajaan menjadikan keputusan 28-27, bagi membolehkan kerajaan Johor tidak tergantung.

“Insiden ini membuktikan kerajaan Johor amat tidak stabil dan berada atas ihsan pembangkang manakala komitmen pembangkang itu hanya janji manis di bibir. Oleh itu, UMNO Johor dan saya memutuskan untuk kita dapat mandat baharu daripada rakyat bagi menubuhkan kerajaan negeri lebih kuat.

“Kerajaan yang lebih kuat dapat membawa lebih banyak pembangunan kepada negeri dan rakyat dan tidak sekadar bergerak atas ihsan pembangkang,” katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan UMNO Johor, di sini, hari ini.

Terdahulu, Hasni yang juga ADUN Benut, mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor sebelum menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bagi memohon perkenan baginda membubarkan DUN Johor.

Dalam pada itu, Hasni berkata, pembubaran DUN sudah berlaku dan terserah kepada Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat, membuat pengumuman rasmi diikuti ketetapan tarikh PRN yang akan ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 60 hari.

“DUN sudah terbubar dan terserah kepada Speaker dan SPR pula selepas ini menentukan apa yang sepatutnya,” katanya.

Hasni juga melihat peluang UMNO Johor amat baik pada PRN yang akan berlangsung berikutan komitmen jitu jentera parti yang sentiasa bersiap sedia dan bersungguh mematuhi arahan yang diberikan kepemimpinan tertinggi dan negeri.

“Peluang kita amat baik sekali dan kita harap akan dapat lebih kerusi daripada Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14),” katanya.

Mengulas isu pembahagian kerusi pula, Hasni yakin ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“UMNO, MCA dan MIC Pusat akan duduk berbincang bagi menentukan pengagihan kerusi sebelum memuktamadkan calon, namun kita harap dapat lebih kerusi berbanding PRU-14,” katanya.

Mengulas sama ada BN Johor akan bergerak bersendirian pada PRN ini, Hasni berkata, kerjasama dalam komposisi pembahagian kerusi parti di luar BN pada PRN, adalah tertakluk pada budi bicara pimpinan tertinggi.

Related posts

Leave a Comment