Malaysia catat 4 juta kes Covid-19

PUTRAJAYA 22 Mac – Jumlah kes jangkitan Covid-19 di negara ini kini melepasi angka empat juta kes selepas 17,828 lagi kes baharu direkodkan semalam yang membawa kepada jumlah keseluruhan 4,010,952 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, sebanyak 17,421 kes penularan tempatan direkodkan manakala 407 lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Sehingga kini, terdapat sejumlah 263,821 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 dalam negara dan daripada jumlah itu, sebanyak 96.7 peratus atau 255,133 sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Ia diikuti 6,883 kes dirawat di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) (1,447), Unit Rawatan Rapi (ICU) (159) dan ICU serta memerlukan alat bantuan pernafasan (199).

Dr Noor Hisham juga memaklumkan sebanyak 51.16 peratus atau 9,121 kes adalah pesakit Covid-19 yang dikesan dalam kategori satu serta 8,551 kes (47.96 peratus) dalam kategori dua.

Ia diikuti kategori tiga (55 kes), kategori lima (53 kes) dan kategori empat (48 kes). Secara keseluruhannya daripada 156 kes dalam kategori tiga hingga lima itu, sejumlah 109 kes atau 69.87 peratus membabitkan individu berusia 60 tahun ke atas.

Selain itu 91 kes dilapor membabitkan individu mempunyai komorbid sudah menerima dua dos vaksin, namun tiada dos penggalak (64 kes), menerima dos penggalak (59 kes) dan tidak divaksin atau belum lengkap vaksin (33 kes).

Sebanyak dua kluster baharu penularan Covid-19 dikesan semalam menjadikan keseluruhan 292 kluster masih aktif di negara ini.

Beliau turut memaklumkan, setakat semalam sebanyak 28,003 kes sembuh dilaporkan,  mengatasi jumlah kes baharu direkodkan setakat tengah malam tadi,  menjadikan sehingga kini 3,712,668 individu sudah pulih sepenuhnya.

Dr. Noor Hisham berkata, lima negeri mencatatkan penggunaan melebihi 50 peratus iaitu Kuala Lumpur (63 peratus), Kelantan (58 peratus), masing-masing 57 peratus dilaporkan di Johor dan Selangor serta Perak (51 peratus).

Bagi katil bukan ICU, sembilan negeri mencatatkan penggunaan melebihi 50 peratus iaitu Selangor (89 peratus), Putrajaya (88 peratus), Terengganu (78 peratus), Kuala Lumpur (75 peratus) dan masing-masing 68 peratus di Perak dan Melaka.

Perlis dengan kegunaan mencecah 66 peratus, Sarawak (56 peratus) dan Kelantan (50 peratus), manakala tiada negeri mencatat penggunaan katil melebihi 50 peratus di PKRC.

Related posts

Leave a Comment