Dos keempat belum berkesan

BAITULMUQADDIS 18 Jan. – Kajian awal Israel menunjukkan suntikan dos keempat vaksin Covid-19 merangsang jumlah antibodi yang lebih tinggi berbanding suntikan ketiga tetapi ia tidak cukup untuk mencegah jangkitan Omicron. 

Pusat Perubatan Sheba di Israel memberi suntikan dos penggalak yang kedua dalam satu percubaan dalam kalangan kakitangan mereka.

Ia sedang mengkaji kesan dos penggalak Pfizer yang diberikan kepada seramai 154 orang selepas dua minggu dan dos penggalak Moderna kepada seramai 120 orang selepas satu minggu.

Kelompok Moderna sebelum itu sudah menerima suntikan tiga dos vaksin Pfizer, menurut hospital tersebut. 

Pengarah Jabatan Penyakit Berjangkit, Gili Regev-Yochay berkata, vaksin-vaksin itu meningkatkan jumlah antibodi “malah hanya lebih sedikit berbanding dengan jumlah anitbodi selepas dos ketiga”.

“Namun, ini mungkin masih belum cukup untuk Omicron. Kami sudah sedia maklum bahawa jumlah antibodi yang diperlukan untuk melindungi dan tidak dijangkiti Omicron mungkin terlalu tinggi untuk vaksin, walaupun ia vaksin yang bagus,” katanya.

Israel merupakan negara terpantas memulakan kempen vaksinasi terhadap Covid-19 tahun lalu dan menawarkan dos keempat, ataupun dos penggalak kedua pada bulan lalu kepada kumpulan-kumpulan paling mudah terjejas dan berisiko tinggi. 

Related posts

Leave a Comment