36 kes Omicron di Sarawak

KUCHING 15 Jan. – Varian Covid-19 Omicron dikesan di empat bahagian di Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Sibu dan Kapit dengan jumlah terkumpul setakat ini sebanyak 36 kes

Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Dr David Perera, berkata sebahagian besar kes itu membabitkan penularan dalam komuniti.

Menurutnya, varian Omicron amat mudah menular khususnya dalam kalangan masyarakat dan semua pihak harus lebih berhati-hati terutama ketika menyambut perayaan Tahun Baharu Cina akan datang.

“Prosedur operasi standard (SOP) kesihatan awam perlu dipatuhi dengan ketat dan perhimpunan komuniti perlu dielakkan bagi mencegah penyebaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam laporan perkembangan penularan Covid-19 bagi Disember 2021 hingga 11 Januari 2022 kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Douglas Uggah, hari ini.

Dr David turut menasihatkan orang ramai yang belum mendapat suntikan dos penggalak Covid-19 agar mendapatkannya dengan segera.

Kajian menunjukkan dos penggalak perlu untuk meneutralkan penurunan paras antibodi bagi melindungi daripada jangkitan Omicron.

Sementara itu, beliau berkata Delta kekal sebagai varian dominan pada Disember dengan 212 kes dikesan dan enam kes lagi dikesan bulan ini.

Pada penghujung Disember, Sarawak mula mengesan lapan kes varian Omicron dengan tujuh adalah kes import dan satu kes tanpa sejarah perjalanan.

Related posts

Leave a Comment