Dah ada satu kes, jangan kena lagi

JITRA 5 Ogos – Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor, supaya tidak sesekali memperlekeh pertemuan beliau dengan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Katanya, Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) perlu sedar bahawa beliau sudah pun berdepan pertuduhan di mahkamah berikutan kenyataan yang dibuat berkait dengan Istana Selangor sebelum ini.

“Awak (Sanusi) dah kena satu kes dengan Sultan Selangor, jangan sampai kena lagi (disiasat dan didakwa kerana kesalahan) dengan Sultan Kedah pula.

“Senang sahaja buat dakwaan sebegitu, saya bukan sekali menghadap Sultan Kedah (tetapi) sudah banyak kali di sini (Kedah) dan di Kuala Lumpur….tambah pula saya adalah Perdana Menteri.

Memang ini kerja saya (selaku Perdana Menteri) supaya ada hubungan baik antara rakyat dan saya sebagai pemimpin dan juga institusi Raja-Raja Melayu dan hubungan ini mesti baik…tetapi ini tidak, soal menghadap pun jadi masalah,” katanya pada Majlis Solat Maghrib dan Taaruf Perpaduan di Jitra, malam ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Sanusi melalui Jelajah Mega Perikatan Nasional (PN) Best pada Selasa lalu yang mempersoal kehadiran ahli perniagaan Indonesia, Reza Chalid yang dibawa Anwar ke Kedah kononnya didakwa untuk mengusahakan aktiviti unsur nadir bumi (REE) di negeri itu.

Sebelum ini Sanusi dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen Selayang di Kuala Lumpur atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.

Sanusi bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Sementara itu, Anwar mengulangi penjelasannya bahawa kehadiran beliau ke Kedah bersama ahli perniagaan dari Indonesia itu semata-mata untuk menghadap Sultan Kedah.

“Saya menghadap Tuanku Sultan (Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah)…jadi apa masalah saya untuk menghadap Tuanku Sultan.

“Ada bercakap (berkaitan) perniagaan…saya tidak berniaga, tetapi sekiranya orang lain hendak berniaga, silakan berniaga.

“Namun dalam soal ini, pertemuan berkenaan adalah semata-mata untuk menghadap Tuanku Sultan sahaja,” katanya.

Pada majlis berasingan di Alor Setar, Perdana Menteri memuji tindakan Timbalannya, Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana berani mempertahankan UMNO sebagai parti yang memperjuangkan kemerdekaan.

Beliau berkata, Ahmad Zahid dilihat berani menghadapi risiko dan terus berjuang demi UMNO berbanding kelompok ahli UMNO yang bertindak keluar parti sebelum ini.

Katanya, walaupun Timbalan Perdana Menteri itu berdepan pelbagai pertuduhan kes di mahkamah, beliau tetap mahu menyelamatkan UMNO daripada dibubarkan.

“Sikap dan integriti Ahmad Zahid wajar dihargai dan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) harus dikukuhkan untuk keharmonian Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment