Rombak strategi vaksinasi

FRANKFURT: Jerman perlu merombak strategi vaksinasi Covid-19 dalam usaha menangani varian Omicron dan membangunkan vaksin baharu  dengan pantas bagi mendepani ancaman varian koronavirus yang lebih serius pada masa depan.

Menteri Kesihatan, Karl Lauterbach berkata, kerajaan merancang untuk meletakkan sistem tetap untuk membeli dan menyediakan suntikan dengan cepat pada bila-bila masa kerana kemungkinan terdapat varian baharu yang serius.

Tambah beliau, orang ramai tidak boleh jatuh ke dalam andaian naif bahawa pandemik itu akan berakhir tidak lama lagi kerana realitinya ia belum berakhir.

Jerman menutup pusat vaksinasi besar di beberapa negeri pada musim panas lalu apabila permintaan untuk suntikan Covid-19 merosot seketika sebelum meningkat semula.

Varian Omicron kini menyumbang 44 peratus daripada jangkitan koronavirus di Jerman dan pada Sabtu, sebanyak 55,889 jangkitan Covid-19 yang baru dilaporkan dalam tempoh 24 jam, lebih daripada dua kali ganda jumlah seminggu sebelumnya.

Berikutan itu Jerman sebelum ini  mengetatkan peraturan untuk lawatan ke restoran dan bar pada Jumaat sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan lebih ramai orang mendapatkan vaksinasi ketiga, atau suntikan penggalak.

Related posts

Leave a Comment