45,098 kes baharu NSW

SYDNEY 8 Jan. – New South Wales (NSW) merekodkan 45,098 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga pukul 8 malam waktu tempatan menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 425,404 kes.

Sembilan kematian juga direkodkan iaitu empat wanita dan lima lelaki berusia 50an, 70an dan 90an.

Setakat ini sebanyak 1,795 kes Covid-19 ditempatkan di hospital di mana 145 menerima rawatan di unit rawatan intensif dan 40 memerlukan bantuan ventilator.

Berikutan itu, wilayah NSW yang menempatkan Sydney dan sepertiga daripada 25 juta penduduk negara itu akan menguatkuasakan semula sekatan-sekatan Covid-19 termasuk menutup kelab malam dan membatalkan pembedahan yang kurang penting akibat rekod kes jangkitan koronavirus.

Langkah-langkah tersebut adalah untuk mengurangkan tekanan terhadap hospital-hospital.

Kafe-kafe dan restoran akan dihadkan jumlah pelanggan dan semua pelanggan harus duduk, manakala menyanyi dan menari di pub akan dilarang.

NSW adalah wilayah Australia yang paling teruk terjejas oleh varian koronavirus Omicron yang mudah berjangkit, mengesahkan rekod kes harian jangkitan sejak beberapa hari lalu.

Jumlah kes yang melambung memberi tekanan ke atas kemudahan-kemudahan ujian Covid-19, khidmat-khidmat kecemasan dan juga hospital-hospital. 

Sementara itu, setakat 6 Januari, 95.1 peratus penduduk NSW berusia 16 tahun keatas menerima dos pertama vaksin dan 93.7 peratus menerima dua dos manakala usia 12 hingga 15 pula, 81.5 peratus menerima dos pertama dan 78.1 peratus dos kedua.

Related posts

Leave a Comment