Kluster tempat kerja meningkat

PUTRAJAYA 3 Jan. –  Kementerian Kesihatan mengesan peningkatan sebanyak 33.3 peratus kluster baharu jangkitan Covid-19 di negara ini pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-52, berbanding ME ke-51.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peningkatan ketara itu bagi kategori kluster tempat kerja dan kluster import, manakala kategori kluster lain menunjukkan penurunan kecuali kluster komuniti dan pusat tahanan yang kekal statik pada ME ke-52.

Beliau berkata, peningkatan kluster tempat kerja ini menunjukkan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) masih lagi di tahap yang rendah.

“Hal ini tidak seharusnya berlaku memandangkan masyarakat di negara ini sepatutnya sudah cakna kepentingan SOP dalam memutuskan rantaian Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengingatkan bahawa pematuhan kepada SOP masih perlu diamalkan walaupun populasi Malaysia sudah mencapai 78.4 peratus lengkap divaksinasi supaya penularan Covid-19 dapat dikurangkan seiring dengan pembukaan semua sektor ekonomi dan peningkatan aktiviti sosial.

Katanya, Kementerian turut melihat penurunan 3.6 peratus bagi kluster aktif, berbanding ME ke-51.

Selain itu, sebanyak 40 kluster sudah diisytiharkan tamat pada ME ke-52 dengan peratusan kluster tamat ini menurun 24.5 peratus berbanding ME ke-51.

Pada ME ke-52, sebanyak 18 kluster tempat kerja dikesan, diikuti lima kluster komuniti; empat kluster import; dua kluster pusat pendidikan dan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi, kluster aktiviti keagamaan dan kluster pusat tahanan.

Related posts

Leave a Comment