Peruntukan: Kerajaan minta jaminan tertentu

KUALA LUMPUR  3 Nov. – Pembangkang tidak akan meneruskan permohonan bayaran peruntukan Ahli Parlimen setelah mendapati syarat yang diminta tidak pernah dilakukan sebelum ini, kata Ketua Whip Perikatan Nasional (PN),  Takiyuddin Hassan.

Setiausaha Agung Pas itu berkata beliau sudah dua kali bertemu Timbalan Perdana Menteri (TPM 2) Fadillah Yusof, berhubung perkara tersebut.

“Apa yang diminta daripada TPM2 ini ialah supaya pihak pembangkang menulis surat kepada mereka memberikan jaminan tertentu dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PN di sini hari ini.

Takiyuddin berkata, kepemimpinan blok itu sudah berbincang dan bersetuju bahawa syarat yang dikenakan kepada mereka itu tidak sepatutnya berlaku.

“Ketika pentadbiran kerajaan PN dulu, di bawah Datuk Seri Ismail Sabri, kerajaan yang tawarkan kepada pembangkang untuk datang tandatangani perjanjian yang disediakan kemudian (peruntukan) diberi, tidak ada masalah apa-apa,” katanya.

Blok pembangkang mempersoalkan mengapa mereka perlu menghantar surat seolah-olah memohon dan perlu pula memberi aku janji tertentu.

“Kita tidak akan menulis apa-apa untuk peruntukan Ahli Parlimen. Lagipun, itu adalah janji dalam buku manifesto mereka, peruntukan sama rata,” katanya.

Takiyuddin mendakwa, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, memutarbelitkan kenyataannya yang mengakui sudah memberi peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

“Dia (Anwar) kata, tak bermakna, tak beri. Di Parlimen tertentu, berapa projek diluluskan, itu bukan isunya. Ini soal peruntukan kepada Ahli Parlimen yang diberikan sebelum ini oleh kerajaan,” katanya.

Menurut beliau, berbanding dengan di Kelantan dan Kedah, peruntukan yang sama diberi kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.

Related posts

Leave a Comment