Tiga kes Omicron di Negeri Sembilan

SEREMBAN 29 Dis. – Tiga kes Covid-19 varian Omicron dikesan di Negeri Sembilan membabitkan kes import wanita tempatan yang pulang dari luar negara, setakat semalam.

Pengesanan itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan.

Memetik laporan Bernama, veerapan berkata kes pertama melibatkan pengembara wanita berumur 28 tahun, yang tiba dari Ireland melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 15 Disember lepas.

Kes disaring di pintu masuk KLIA dan dipakaikan gelang pengawasan pengesan digital sebelum menjalani kuarantin di rumah di Seremban. Keputusan kes adalah positif dan tidak bergejala selain wanita itu lengkap divaksinasi pada 13 Ogos lepas.

Kes kedua melibatkan wanita berusia 28 tahun, yang tiba dari United Kingdom melalui pintu masuk KLIA pada 14 Disember lepas dan disaring serta dipakaikan gelang pengawasan pengesan digital.

Wanita itu juga lengkap divaksinasi pada 19 Mei lepas, menjalani kuarantin di rumah di Seremban manakala keputusan kes adalah positif dan mempunyai gejala ringan.

Kes ketiga, wanita berumur 29 tahun yang juga tiba dari United Kingdom di KLIA pada 16 Disember dan menjalani kuarantin di kediamannya di Port Dickson dan disahkan positif. Individu berkenaan juga mempunyai gejala ringan selain lengkap divaksinasi pada 30 Mac dan menerima dos penggalak pada 22 Oktober lepas.

Kesemua kontak rapat kepada ketiga-tiga wanita itu dikenal pasti dan dilakukan ujian tindak balas polymerase chain reaction (PCR) serta diarahkan menjalani kuarantin kendiri.

Related posts

Leave a Comment