Long Tiger dipercayai mahu rentas negara

JOHOR BAHRU 29 Dis. – Pendatang Rohingya, ‘Long Tiger’ atau nama sebenarnya Abd Hamim Ab Hamid, 33 dipercayai dalam perjalanan melarikan diri ke negara jiran sebelum ditahan polis dalam serbuan di Jalan Kuala Ketil, Kedah, semalam.

Suspek yang meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, pada 15 Disember lalu, dipercayai dalam perjalanan keluar dari negara ini, sama ada ke Thailand dan Indonesia.

Dia kini dalam tahanan reman selama empat hari selepas perintah terbabit dikeluarkan oleh Majistret Tangkak, Analia Kamaruddin, pagi tadi bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.

Tiga lagi individu yang membantu suspek sepanjang tempoh dia meloloskan diri daripada lokap direman untuk tempoh sama bagi siasatan mengikut Seksyen 216 kanun sama.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata Long Tiger dikesan dibantu dua individu untuk melarikan diri dari Johor ke Kedah.

Hasil siasatan, polis membuat tangkapan susulan membabitkan dua lelaki berusia 36 dan 38 tahun yang dipercayai bersekongkol dengan suspek, di sekitar Batu Pahat, antara pukul 7.25 malam tadi hingga 3 pagi ini.

Kedua-dua suspek itu dipercayai membantu suspek dengan memotong gari tangannya, selain membeli kad sim sebelum melarikan diri ke utara.

Ayob pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

‘Long Tiger’ yang berjaya ditahan semalam, didapati menyembunyikan diri di rumah seorang pondan di Jalan Kuala Ketil, dekat sini.

Ketika ditahan kira-kira pukul 3 petang itu, Long Tiger dikesan sekali lagi cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung tetapi tergelincir jatuh di lantai dapur rumah.

Sementara itu, seorang ketua polis daerah (KPD) bersama dua lagi pegawai kanannya, berdepan siasatan atas kecuaian penyeliaan dalam penugasan sehingga menyebabkan Long Tiger, lolos daripada lokap.

Menurut Ayob Khan, kertas siasatan juga dibuka terhadap pegawai iaitu Ketua Polis Balai dan seorang Inspektor.

Kertas siasatan tatatertib itu akan dihantar kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman, untuk penilaian dan tindakan susulan.

Turut berdepan tindakan, seorang anggota polis berpangkat Koperal berusia 30 tahun dan seorang pegawai berpangkat Senior Asisten Komisioner (SAC) yang terbabit dalam kecuaian menyebabkan kebocoran maklumat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 203 Kanun Keseksaan kerana mendedah maklumat sulit, yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara satu tahun atau denda RM1 juta,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pihaknya juga membuka siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) ke atas seorang bekas anggota polis yang juga pemilik akaun laman sosial Facebook (FB) Jebat Derhaka.

Katanya, individu yang berasal dari Klang berusia 47 tahun itu dipercayai menularkan maklumat sulit atau gambar operasi yang diperoleh ke dalam FB.

Related posts

Leave a Comment