Risiko varian Omicron ‘sangat tinggi’

GENEVA: Risiko yang ditimbulkan varian Omicron masih “sangat tinggi”, selepas jumlah kes Covid-19 meningkat sebanyak 11 peratus di seluruh dunia minggu lalu, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Omicron merupakan punca lonjakan pesat virus itu di beberapa negara, termasuk negara yang telah mengatasi varian Delta yang dominan sebelumnya.

Bukti yang konsisten menunjukkan Omicron tumbuh lebih pesat berbanding  Delta iaitu naik seganda dalam dua, tiga hari dan peningkatan pesat itu dilihat di beberapa negara, termasuk Britain dan Amerika Syarikat, di mana ia menjadi varian dominan.

Menurut WHO, kadar pertumbuhan pesat itu mungkin disebabkan gabungan vaksin sedia ada yang tidak berkesan melawan Omicron dan hakikat varian itu lebih mudah berjangkit.

Bagaimanapun, WHO menarik perhatian jumlah kes di Afrika Selatan, negara pertama melaporkan varian tersebut kepada WHO pada 24 November menunjukkan kemerosotan 29 peratus.

Data awal dari Britain, Afrika Selatan dan Denmark — yang kini mempunyai kadar jangkitan tertinggi di dunia bagi setiap orang — menunjukkan terdapat pengurangan risiko kemasukan ke hospital bagi Omicron berbanding Delta.

Bagaimanapun, data lanjut diperlukan untuk memahami kesan kemudaratan Omicron dari segi penanda klinikal, termasuk penggunaan oksigen, alat bantuan pernafasan mekanikal dan kematian.

Lebih banyak data juga diperlukan sejauh mana kemudaratan varian itu dipengaruhi jangkitan Covid-19 atau vaksinasi sebelumnya.

Sementara itu, United Kingdom merekodkan kes baharu tertinggi sejak pandemik bermula, iaitu dengan pertambahan 129,471 jangkitan harian pada Selasa, memecah rekod kes tertinggi pada Jumaat lalu dengan 122,186 kes harian.

Perkembangan ini menyusul sehari selepas Perdana Menteri Boris Jonson memaklumkan kerajaan tidak akan mengenakan sekatan baharu bagi membendung jangkitan.

Namun, menterinya menggesa orang ramai untuk menyambut tahun baharu dengan berhati-hati dan memberi amaran peraturan baharu akan diperketatkan jika sistem kesihatan semakin lumpuh.

Menteri-menteri negara itu sedang menunggu lebih banyak bukti tentang bagaimana perkhidmatan kesihatan negara itu mampu menangani kadar jangkitan yang tinggi.

Data terkini menunjukkan, jumlah pesakit di hospital di UK meningkat kepada 9,546, berbanding 6,902 minggu lalu,  jauh daripada rekod pada Januari lalu yang mencecah 34,000.

Related posts

Leave a Comment