Kluster mangsa banjir dikesan

PUTRAJAYA 27 Dis. – Kementerian Kesihatan mengesan satu kluster komuniti pertama melibatkan penularan Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS).

Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu dikesan hari ini dan ia melibatkan sebuah PPS dalam daerah Bentong, Pahang.

Menurutnya, kes indeks bagi Kluster Karak Setia itu merupakan seorang perempuan warganegara Malaysia yang dikesan positif pada 19 Disember 2021 melalui saringan individu bergejala.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, kes mula bergejala demam, batuk, selesema, dan hilang deria bau sejak 18 Disember 2021.

Sehingga 27 Disember 2021 pukul  12 tengah hari, seramai 104 individu telah disaring dalam kluster ini.

Menurutnya, pecahan saringan bagi kluster tersebut adalah 10 kes dikesan positif dengan lapan kes baharu dilaporkan dan 94 individu pula disahkan negatif Covid-19.

Punca penularan disyaki pergaulan dalam kalangan mangsa banjir di pusat penempatan tersebut.

Kesemua kes positif dan kontak rapat telah diasingkan daripada mangsa banjir yang lain.

Related posts

Leave a Comment