SEMALAM KITA MEMBANTU HARI INI KITA DIBANTU

BERAT mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Maksudnya dalam konteks banjir, hanya mereka yang mengalami sahaja lebih memahami ‘derita’ yang ditanggung.

Kita yang di luar hanya mampu berkata – bersabarlah, tabahlah dan pelbagai lagi ungkapan semangat sedangkan yang menanggungnya hanya Allah SWT yang tahu isi hati dan perasaan mereka.

Bukan kerja mudah untuk membersihkan rumah yang diterjah air banjir, apa lagi yang membawa bersama lumpur. Banyak barang yang rosak dan terbuang, tidak boleh dibaiki, dibasuh atau dijemur. Itu yang di dalam rumah.

Di luar rumah ada kenderaan – kereta, motosikal, basikal, tanaman dan haiwan ternakan atau peliharaan yang sama ada rosak atau dihanyutkan.

Apa pun perlu ada rasa syukur kerana masih diberi peluang melihat musibah yang menimpa, tidak seperti orang lain yang rumah mereka roboh atau dihanyutkan arus malahan nyawa menjadi korban.

Mereka yang diluar hanya mampu menghulurkan bantuan sama ada membersihkan rumah, menghulurkan sumbangan wang, makanan atau pakaian sambil menyatakan rasa simpati atau memberi sokongan moral.

Saya percaya dalam kalangan kita, ada saudara mara, sahabat atau kenalan yang sedang berdepan musibah ini. Mereka memerlukan sokongan terutama kudrat atau tenaga bagi membersihkan rumah serta kawasan sekitar.

Semalam, seorang sahabat yang turut terkesan akibat banjir dalam grup WhatsApp memberitahu : “Tolong doakan saya sekeluarga dipermudahkan segala urusan dan kuatkan iman kami ujian dari Allah”.

Nasir Supian, mantan petugas Jabatan Pemasaran Utusan turut mengirimkan gambar-gambar keadaan rumahnya yang ditenggelami air hingga paras bumbung serta ruang dalam selepas air surut.

Katanya lagi : “Barang-barang dalam rumah semuanya tak dapat diselamatkan dan termasuklah barang-barang kenangan Utusan,”.

Seorang lagi mantan petugas Jabatan Pemasaran Utusan adalah Nurul Nadhirah Zainudin.

Katanya: “Banjir kilat rumah saya dinaiki air sehingga ke paras bumbung rumah dan melimpahi ke jalan raya sehingga ke paras pinggang akibat hujan yang begitu lebat.

“Tiada kata-kata yg dapat diungkap hanya memohon perlindungan dan kesejahteraan pada Allah Yang Maha Esa atas ketentuanNya kepada kami.

“Semoga Allah ganti yang lebih baik dan ada hikmah disebalik apa yang berlaku. Pakaian, barang dapur, barang-barang keperluan rumah, barang elektrik, katil, almari dan perabot semua habis ditenggelami air.

“Saya & keluarga hanya sempat ambil baju sehelai sepinggang untuk dipakai dan menyelamatkan kenderaan kami dari terus ditenggelami air yang begitu laju dan deras.

“Jika ada yang sudi membantu, kami amat mengalu-alukan. Mana-mana yang sudi memberikan bantuan, kami ucapkan ribuan terima kasih. Hanya Allah yang sudi membalas jasa kebaikan anda.

“Kami juga mengalu-alukan jika ada yang sudi bersama kami dalam mencuci dan membantu mengemas rumah mangsa terlibat banjir,” tulisnya.

Begitulah cerita duka dua mantan pekerja Utusan. Ada lagi beberapa orang mantan pekerja Utusan dan sahabat yang mengalami masalah yang sama.

Andai Utusan Melayu masih hidup, sedikit sebanyak nasib mereka pasti mendapat perhatian rakan sekerja dan juga syarikat. Ini mengingatkan saya misi bantuan banjir anjuran Utusan di Pahang dan Kelantan tidak lama dulu.

Jika dulu Utusan dan warga kerjanya membantu, hari ini bekas warga kerjanya pula mengharapkan bantuan. Dulu membantu sekarang dibantu.

Malangnya kebanyakan mantan warga kerja Utusan juga sedang ‘berjuang’ selepas diberhentikan dalam keadaan yang amat menyedihkan manakala 700 lagi menawarkan diri untuk berhenti juga terpaksa ‘berjuang dalam kepayahan’ setelah janji-janji manis syarikat belum tertunai sehingga sekarang.

Namun dalam kepayahan ini, semangat kekeluargaan mantan pekerja Utusan pasti akan terus subur dan tidak dibiarkan berkubur tanpa nisan seperti berlaku ke atas Utusan.

Sama-samalah kita membantu rakan-rakan yang benar-benar memerlukan sokongan. Waktu ini, keperluan mendesak adalah wang ringgit dan kudrat. Makanan dan pakaian dalam tempoh terdekat ini lebih daripada mencukupi.

Rumah yang rosak, peralatan yang rosak, kenderaan yang rosak perlu diperbaiki atau diganti baharu. Hari ini kita membantu orang, esok lusa pula kita dibantu.

Related posts

Leave a Comment