Fokus tamatkan pandemik Covid-19

GENEVA 21 Dis –  Lebih baik batalkan acara sambutan Tahun Baharu sekarang dan raikannya kemudian daripada meraikan sekarang dan bersedih kemudian.

Itu saranan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berikutan peningkatan kes varian Omicron Covid-19 di seluruh dunia.

“Semua negara perlu lebih fokus sekarang untuk menamatkan pandemik ini,” katanya pada taklimat media semalam.

Beliau menggesa dunia terus bersatu dan membuat keputusan sukar yang diperlukan untuk menamatkan pandemik Covid-19 dalam tahun hadapan.

“2022 mestilah tahun kita menamatkan pandemik,” katanya.

Ketika perayaan sambutan Tahun Baharu semakin hampir, Tedros berkata, pihaknya mengakui bahawa semua orang mahu meluangkan masa bersama rakan dan keluarga dan menjalani kembali kehidupan normal.

“Namun, untuk kembali normal, kita perlu melindungi diri kita sekarang kerana kes jangkitan varian Omicron merebak dengan pantas sekali gus meningkatkan kadar jangkitan virus itu,” katanya.

Sejak pertama kali dilaporkan di Afrika Selatan bulan lalu, varian Covid-19 Omicron yang sudah menular di berpuluh-puluh negara, mematahkan harapan bahawa pandemik itu akan berakhir.

Tedros juga menegaskan, WHO yakin pandemik itu boleh diputuskan menerusi program vaksinasi secara besar-besaran, memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal.

Walaupun WHO tidak menentang pemberian dos penggalak kepada golongan muda tetapi adalah tidak adil apabila ada kalangan warga emas di negara miskin masih belum diberikan vaksin.

“Paling penting, dunia perlu menamatkan ketidakadilan yang ketara dalam akses pemberian kepada vaksin.

“Jika kita ingin menamatkan wabak pada tahun akan datang, kita mesti menamatkan ketidakadilan ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment