30 masjid, 60 surau terjejas teruk

SHAH ALAM 21 Dis. – Sebanyak 30 masjid, 60 surau dan 30 sekolah agama di Selangor terjejas teruk akibat banjir dan mengalami kerosakan, serta memerlukan penyelenggaraan dan baik pulih segera, setakat 10 pagi semalam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Shahzihan Ahmad berkata hampir keseluruhan karpet masjid dan surau rosak.

Begitu juga kelengkapan elektrik, sistem pembesar suara, sejadah, mashaf al-Quran, kitab dan bahan bacaan, perabot, alatan masjid, siling dan bumbung masjid perlu kepada kerja pembaikan agar dapat kembali berfungsi dengan segera.

Institusi sekolah agama di bawah seliaan jabatan ini juga menghadapi situasi sama dan menjangkakan angka masjid, surau dan sekolah terlibat akan menjadi lebih besar ekoran paras air di beberapa daerah seperti Kuala Langat dan Kuala Selangor mula naik sejak pertengahan malam semalam.

Dalam kenyataan semalam, beliau berkata jawatankuasa khas JAIS peringkat negeri dan daerah ditubuhkan serta merta bagi menyelaras jenis dan bentuk bantuan kepada mangsa banjir melibatkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dan Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS).

Mohd Shahzihan berkata jawatankuasa khas turut membuat keputusan menyalurkan bantuan kelengkapan 210 unit water jet bagi kemudahan masjid, surau dan sekolah, serta bantuan keperluan makanan basah di semua PPS di 36 masjid dan surau dari Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) berjumlah RM250,000.

Beliau berkata bagi memastikan usaha penyelarasan bantuan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan, Bilik Gerakan Khas diwujudkan serta-merta dan akan beroperasi dari 8 pagi hingga 6 petang dan boleh dihubungi di talian 03-5514 3439 atau 03-5514 3761.

Related posts

Leave a Comment