Omicron terjah 89 negara

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan varian Omicron dikesan di 89 negara dengan bilangan kes meningkat dalam tempoh satu setengah hingga tiga hari di kawasan yang merekodkan jangkitan tempatan.

Omicron dilaporkan merebak dengan pantas di negara yang mempunyai tahap imuniti penduduk tinggi, namun tidak jelas sama ada ia disebabkan keupayaan virus itu menghindari imuniti, peningkatan kebolehjangkitan yang wujud atau gabungan kedua-duanya sekali.

Pada 26 November lalu, WHO mengisytiharkan Omicron sebagai varian membimbangkan (VoC), namun masih banyak lagi maklumat tidak diketahui mengenainya termasuk tahap keseriusan daripada jangkitan itu.

Data yang diperoleh masih terhad mengenai tahap keseriusan jangkitan daripada Omicron. Lebih banyak data diperlukan untuk memahami profil keseriusan dan bagaimana ia dipengaruhi oleh vaksinasi dan imuniti sedia ada.

Data mengenainya masih terhad dan tiada bukti daripada jangkitan sebelum ini mengenai keberkesanan vaksin untuk Omicron sehingga kini.

WHO turut memberi amaran risiko kemasukan yang tinggi ke hospital di beberapa negara ekoran peningkatan kes yang sangat pantas.

Kadar kemasukan ke hospital di United Kingdom (UK) dan Afrika Selatan terus meningkat dan berikutan penambahan kes yang tinggi, berkemungkinan besar banyak sistem penjagaan kesihatan akan mengalami kesesakan.

Related posts

Leave a Comment