KUALA SELANGOR 5 Feb. – UMNO dijangka mengalami kekalahan termasuk beberapa kubu kuat parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Noh Omar berkata, semua kawasan Parlimen di Selangor tewas termasuk kubu kuat UMNO seperti di Tanjong Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam yang dimenangi Perikatan Nasional (PN).
Katanya, beliau tidak nampak peluang UMNO untuk menang di Selangor melainkan jika mengharapkan pengundi bukan Melayu.
“Mungkin pada masa itu (PRU15), pengundi masih menyokong UMNO tetapi sekarang ini, orang yang sokong UMNO bila dia tengok parti itu berkawan dengan DAP, kalau tahu dia takkan undi,” ujarnya.
Bercakap selepas Majlis Jasamu Dikenang di sebuah hotel di Pasir Penambang di sini, beliau berkata, pengundi yang berjumpa beliau misalnya mengakui tidak akan memilih UMNO sekiranya parti itu terus bekerjasama dengan DAP.
“Saya berjumpa dengan orang kampung saya mengaku undi BN (Barisan Nasional) pada PRU15 lepas, tetapi kalau tahu UMNO bersama DAP, mereka kata tak mahu undi BN,” jelasnya.
Sementara itu, beliau yang sedang berehat daripada politik bersedia menerima jemputan mana-mana parti termasuk bekas partinya sebagai penceramah bebas khususnya menjelang PRN di enam negeri tidak lama lagi.
“Sekarang ini saya tengah berehat, tetapi yang pasti saya jadi penceramah bebas.
Jika Bersatu nak jemput saya bagi ceramah masa Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, saya akan bagi ceramah.
Kalau Pas nak jemput pun saya akan datang. Kalau UMNO sudi nak jemput, jemputlah… tiada masalah,” katanya.
Ditanya adakah beliau sedia untuk merayu berhubung pemecatan daripada UMNO, Noh berkata, keputusan pemecatan beliau dibuat oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.
“Hendak merayu kepada siapa? Kalau (pemecatan daripada Lembaga Disiplin UMNO bolehlah) merayu kepada MKT (Majlis Kerja Tertinggi).
“Selagi Presiden itu ada, takkan beliau hendak terima rayuan saya? Tak pernah berlaku, belum lagi MKT bermesyuarat, keputusan sudah dibuat. Sepatutnya cadang dahulu pada MKT dan dibahas dan jika ada percanggahan pendapat, undilah,” jelasnya.
(Foto fb Nor Azizah Ahmad)
