Muda juga didaftar atas arahan mahkamah

PUTRAJAYA 14 Dis. – Selepas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), kini giliran Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pula didaftarkan atas arahan Mahkamah Tinggi selepas Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) menolak permohonan kedua-dua parti itu.

Pejuang didaftarkan sebagai pertubuhan yang sah pada Julai 2021 manakala Muda akan didaftarkan dalam tempoh 14 hari mulai hari ini.

Sebelum ini Mahkamah Tinggi pada 25 Jun 2021 memerintahkan Menteri Dalam Negeri untuk membuat keputusan berhubung permohonan Pejuang untuk didaftarkan sebagai parti politik, dalam tempoh 14 hari.

Keputusan itu selepas mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan Pejuang untuk menggesa menteri berkenaan Hamzah Zainuddin membuat keputusan berhubung rayuan parti itu.

Pada hari ini pula, Mahkamah Tinggi, memerintahkan Menteri Dalam Negeri (Hamzah) mendaftarkan Muda sebagai sebuah parti politik dalam tempoh 14 hari.

Hakim Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan 12 individu, untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri dan RoS yang menolak rayuan mereka untuk mendaftar Muda sebagai sebuah parti politik.

Hamzah pada 2 Februari 2021 berkata, permohonan pendaftaran Pejuang dan Muda ditolak berikutan kegagalannya mematuhi peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335), berkaitan dengan perlembagaan parti.

Menurut Hamzah, antaranya intipati dalam perlembagaan kedua-dua parti yang tidak teratur serta tidak spesifik.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dikesan dalam perlembagaan parti yang disertakan menerusi permohonan Muda ialah tidak menyatakan had usia maksimum ahli parti.

Katanya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sepatutnya membaca terlebih dahulu permohonan pendaftaran partinya sebelum menyalahkan RoS dan menteri atas kegagalan mendaftarkan Muda.

Mengenai permohonan Pejuang yang juga ditolak, Hamzah berkata, kesalahan sama turut dikesan pada permohonan parti berkenaan terutama ada pertindihan membabitkan Jawatankuasa Pusat dan Majlis Tertinggi Pusat parti itu serta takrifan nama Pejuang.

Related posts

Leave a Comment