Pelajar IPG cetus kluster baharu

KOTA KINABALU 8 Dis. – Seramai 27 pelajar wanita Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent Baru dijangkiti Covid-19 sekali gus mencetuskan satu lagi kluster baharu, Kluster Jalan Tuaran Bakut.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Masidi Manjun berkata kluster dalam kategori institusi pendidikan itu dikenal pasti di daerah Tuaran.

Kes indeks ialah pelajar wanita warga tempatan berusia 20 tahun yang dikesan positif Covid-19 melalui ujian PCR pada 27 November lepas dalam saringan bergejala.

Menurut Masidi, saringan kontak rapat dan saringan bergejala ke atas 134 orang mendapati 26 kes positif, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 27 kes.

Katanya, punca jangkitan masih dalam siasatan, bagaimnapun penularan jangkitan disyaki berpunca daripada aktiviti pergaulan pelajar di asrama.

Dalam kenyataannya, beliau memberitahu, semua pesakit telah diasingkan dan diberikan rawatan yang sesuai.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 322 kes.

Ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 236,046 kes manakala bilangan pesakit sembuh ialah 321 menjadikan jumlah kumulatif 226,330 orang.

Manakala 1,195 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 580 orang di hospital, 605 orang di Pusat Kuarantin danRawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, lapan (8) orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan dua orang di fasiliti swasta.

Related posts

Leave a Comment