Kes harian Thailand turun

BANGKOK 7 Dis. – Kes jangkitan harian Covid-19 di Thailand menunjukkan penurunan hari ini dengan merekodkan 3,525 kes berbanding 4,000 semalam menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 2,148,766.

Bagaimanapun jumlah kematian menunjukkan peningkatan sedikit iaitu 31 kes berbanding 22 yang direkodkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan 20,997 orang meninggal dunia.

Menurut Kementerian Kesihatan Awam, terdapat 3,513 kes dalam kalangan orang awam termasuk 10 kes import dan 12 lagi kes banduan .

Semalam, 6,109 lagi pesakit dilaporkan sembuh yang membawa kepada jumlah keseluruhan 2,061,374 orang  pulih daripada koronavirus.

Mengenai kematian pula, umur individu yang meninggal dunia adalah antara 35 hingga 88 tahun di mana wilayah Selatan merekodkan sembilan kes, Timur Laut dan Utara masing-masing merekodkan tujuh kes.

Sementara itu,  Bangkok merekodkan 810 kes diikuti , 271 di Nakhon Si Thammarat, Chon Buri 162, Songkhla 159, Surat Thani 153, Pattani 110, Chiang Mai 95 dan Nakhon Sawan 95, Samut Prakan 93 dan Trang 80.

Sepuluh kes import pula adalah dari Rusia (2), United Kingdom (1), Sri Lanka (1), Qatar (1), Jerman (3), Congo (1) dan Switzerland (1).

Semalam, sebanyak 66,395 orang mendapatkan rawatan  Covid-19 di hospital termasuk 1,253 kritikal dan 328 bergantung kepada ventilator.

Related posts

Leave a Comment