Vaksinasi 2.3 juta kanak-kanak Australia

SYDNEY 5 Dis. – Kira-kira 2.3 juta kanak-kanak Australia berusia lima hingga 11 tahun, akan mula menerima suntikan vaksin Covid-19 mulai 10 Januari depan.

Menteri Kesihatan, Greg Hunt berkata, penguatkuasa kesihatan memberi kelulusan sementara untuk vaksin Pfizer-BioNTech diberikan kepada kanak-kanak.

Langkah pemberian vaksin itu sebagai mengikuti tindakan sama dibuat Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS), Israel dan Kanada.

“Vaksinasi 2.3 juta kanak-kanak akan bermula pada 10 Januari ini, tertakluk kepada kelulusan daripada badan penasihat imunisasi negara.

Ia disyorkan untuk kanak-kanak di seluruh Australia. Ini bagi memastikan anak-anak kita, keluarga kita dan semua warga Australia selamat,” katanya.

Agensi Kawal Selia Pentadbiran Barangan Terapeutik, berkata kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun akan menerima dos vaksin lebih kecil berbanding orang berumur 12 tahun dan ke atas.

Ketua agensi itu, John Skerritt berkata, beliau yakin dengan keberkesanan dan keselamatan formula itu.

“Ia sudah diuji secara klinikal secara meluas,” katanya.

Setakat ini, sebanyak 92.8 peratus warga Australia berumur lebih 16 tahun menerima dos vaksin pertama, manakala 87.9 peratus menerima dos sepenuhnya.

Dos penggalak juga diluluskan pada Oktober lalu dan orang ramai digalakkan menerima suntikan ketiga mereka selepas enam bulan menerima dua suntikan lengkap.

Related posts

Leave a Comment