Ceramah fizikal hanya di 64 DUN

KUCHING 5 Dis. – Ceramah fizikal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak hanya dibenarkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak mencapai jaringan internet.

Perkara itu dimaklumkan melalui prosedur operasi standard (SOP) Pencegahan Covid-19 menjelang PRN yang dimuat naik di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Menurut senarai yang dikeluarkan, terdapat 64 DUN yang dikenal pasti mempunyai kadar liputan 4G yang rendah di kawasan berpenduduk.

Menerusi SOP tersebut, SPR berkata penganjur, urus setia, calon serta penceramah perlu membuat kit ujian pantas (RTK) kendiri sebelum mengadakan ceramah.

Ujian tersebut hendaklah dibuat di Bilik Gerakan dan perlu direkodkan di dalam MySejahtera atau dicatat dalam buku. Hanya individu yang telah lengkap divaksin dibenarkan hadir, termasuk penganjur, urus setia, penceramah dan peserta.

Penganjur perlu menyediakan kaunter saringan kesihatan untuk menyemak bilangan kehadiran, status vaksinasi, pemeriksaan suhu badan, saringan gejala seperti batuk, sakit tekak, selsema dan sesak nafas.

Peserta dengan suhu badan melebihi 37.5 darjah celcius atau bergejala tidak dibenarkan masuk.

Selain itu SPR menjelaskan, penganjur perlu mendapatkan permit daripada pihak polis sebelum mengadakan ceramah.

Setiap sesi ceramah hanya dibenarkan selama dua jam dan tidak melebihi 10 malam di lokasi tertutup.

Ceramah atau syarahan di lokasi terbuka dan tempat umum adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Kehadiran peserta pada satu-satu ceramah hendaklah 50 peratus daripada kapasiti premis atau maksimum 150 orang. Peserta yang menghadiri ceramah juga dihadkan kepada penduduk di dalam sesuatu kampung atau rumah panjang itu sahaja.

Related posts

Leave a Comment