17 kematian baharu Covid-19

PUTRAJAYA 4 Dis. – Kementerian Kesihatan melaporkan 17 kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 setakat tengah malam tadi menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu sebanyak 30,538 orang.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, empat daripada 17 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Kes kematian itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu berikutan proses pengesahan sama ada pesakit Covid-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 62,486 kes aktif Covid-19 di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 50,925 individu atau 81.5 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 6,038 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), 5,024 kes dirawat di hospital dan 499 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 230 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 269 lagi memerlukan mesin ventilator.

Related posts

Leave a Comment