2 diuji awal positif Omicron di Singapura

SINGAPURA 2 Dis. – Dua penumpang yang tiba di Singapura dari Afrika Selatan melalui penerbangan Singapore Airlines semalam  Rabu diuji “awal positif” bagi varian Covid-19 Omicron.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH) hari ini, kedua-dua kes diasingkan sejurus tiba di Singapura pada 1 Disember dan tidak berinteraksi dengan masyarakat dan ketika ini tiada bukti penularan dalam masyarakat daripada kes berkenaan.

Mereka yang tiba dari Johannesburg menaiki penerbangan SIA SQ479 kini

dirawat di wad pengasingan di Pusat bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Kedua-duanya sudah lengkap divaksin dan mengalami gejala ringan batuk dan tekak gatal.

Kes 271487 adalah seorang lelaki penduduk tetap Singapura berusia 44 tahun yang tiba di Singapura dari Mozambique dan transit di Johannesburg. Hasil ujian sebelum berangkat yang diambilnya di Mozambique pada 29 November negatif Covid-19.

Kes 271598 adalah wanita Singapura berumur 41 tahun yang tiba di Singapura dari Afrika Selatan pada 1 Disember. Ujian sebelum pelepasan yang diambilnya di Johannesburg pada 29 November juga negatif.

Kedua-duanya menjalani ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) sebaik tiba di Singapura dan dibawa ke sebuah kemudahan khas bagi Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) untuk menjalani pengasingan sementara menunggu hasil ujian.

Sebaik sahaja disahkan positif Covid-19, mereka dibawa ke NCID.

Hasil ujian PCR mendedahkan kewujudan genom Kegagalan Sasaran gen-S yang mungkin terkait dengan varian Omicron.

MOH menyatakan pengesanan kontak sedang dijalankan dan semua 19 penumpang lain dalam penerbangan yang sama diuji negatif Covid-19.

Related posts

Leave a Comment