NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres berkata, rakyat Afrika tidak seharusnya “dihukum” dengan sekatan perjalanan kerana berkongsi maklumat penting tentang varian Covid-19 Omicron.
Guterres berpandangan rakyat Afrika tidak boleh dipersalahkan disebabkan tahap vaksinasi yang sangat rendah di benua tersebut.
Beliau sebaliknya menggesa pihak berkuasa supaya menimbangkan ujian berulang untuk pelancong, bersama dengan langkah-langkah lain yang sesuai dan benar-benar berkesan sebagai alternatif.
Sekatan terhadap warga tertentu, kata Guterres adalah satu bentuk hukuman kolektif.
Jurucakap Setiausaha Agung PBB Stephane Dujarric memaklumkan masih banyak lagi kajian perlu dijalankan mengenai kebolehjangkitan, keadaan pesakit dan isu vaksin.
“Kita harus berpandukan sains. Bagi pihak kami, kami dibimbing oleh rakan pakar kami di WHO. Dan saya rasa jika anda melihat apa yang mereka katakan masih banyak kajian yang perlu dilakukan mengenai kebolehjangkitan, keadaan penyakit dan isu vaksin.
“Apa yang diperkatakan oleh Setiausaha Agung adalah kami berpendapat terdapat lebih banyak penyelesaian berasaskan sains: peningkatan ujian dan walaupun individu terbabit perlu menjalani kuarantin.
“Tetapi sekatan-sekatan tertentu terhadap rakyat secara keseluruhan, kami rasa adalah satu bentuk hukuman kolektif,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika negara-negara di seluruh dunia menutup sempadan mereka kepada pelawat dari negara-negara selatan Afrika.
Ini sebagai langkah mengekang varian baru itu selepas ia dikesan oleh para penyelidik Afrika Selatan.
Sementara itu Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa mengecam sebahagian besar negara yang mengenakan larangan perjalanan terhadap negaranya berhubung penemuan varian Covid-19 Omicron.
Ramaphosa amat kecewa dengan tindakan negara tersebut yang dianggapnya sebagai tidak wajar dari segi saintifik.
Justeru, beliau menggesa semua negara terbabit untuk menarik balik sekatan perjalanan yang dikenakan ke atas Afrika Selatan dan negara jirannya.
Menurut Ramaphosa, negara Afrika kini menjadi mangsa diskriminasi yang tidak adil.
“Sekatan itu tidak akan berkesan dalam menghalang penularan varian itu.
“Satu-satunya perkara boleh berlaku adalah memusnahkan lagi ekonomi negara-negara yang terkesan dan menjejaskan keupayaan mereka untuk bertindak balas dan pulih daripada pandemik,” katanya.
