Omicron mungkin merebak ke seluruh dunia

GENEVA: Varian Covid-19 Omicron berkemungkinan merebak ke seluruh dunia, menimbulkan risiko global yang sangat tinggi di mana lonjakan jangkitan boleh membawa kesan teruk di beberapa kawasan, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dalam nasihat teknikal kepada 194 negara anggotanya menggesa mereka untuk mempercepatkan vaksinasi ke atas kumpulan keutamaan tinggi dan memastikan rancangan mitigasi disediakan bagi mengekalkan perkhidmatan kesihatan yang penting.

“Omicron mempunyai bilangan mutasi lonjakan yang belum pernah dilihat sebelum ini, dengan sebilangannya membimbangkan disebabkan oleh potensi kesan mereka terhadap trajektori wabak ini,” kata WHO.

“Risiko global keseluruhan berkaitan dengan varian baharu yang membimbangkan Omicron dinilai sebagai sangat tinggi.”

Sehingga kini, tiada kematian yang dikaitkan dengan Omicron dilaporkan, walaupun kajian lanjut diperlukan untuk menilai potensi Omicron mengelak perlindungan terhadap imuniti yang diberikan oleh vaksin dan jangkitan sebelumnya..

Peningkatan kes, tanpa mengambil kira perubahan dalam betapa teruk penyakit yang dialami, mungkin menimbulkan permintaan yang luar biasa terhadap sistem penjagaan kesihatan dan boleh membawa kepada peningkatan penyakit dan kematian.

Kesan ke atas penduduk yang terdedah akan menjadi ketara, terutamanya di negara yang mempunyai perlindungan vaksin yang rendah.

Lebih banyak data boleh dijangkakan dalam beberapa minggu akan datang.

Related posts

Leave a Comment