Indonesia catat kematian tertinggi

JAKARTA 28 Jan. – Indonesia hari ini mencatatkan kematian tertinggi akibat Covid-19 sejak kematian pertama pada 11 Mac lalu apabila merekodkan 476 lagi pesakit meninggal dunia.

Angka kematian tertinggi sebelum ini adalah semalam, 27 Januari yang merekodkan 387 orang meninggal dunia.

Ini menjadikan jumlah korban Covid-19, di republik itu setakat ini meningkat kepada 29,331 orang.

Menurut data yang disiarkan di laman rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, daripada 476 kes kematian baharu itu, 200 kes direkodkan di wilayah Jawa Barat, 81 di Jawa Tengah, 57 di Jawa Timur, 40 di Jakarta, dan selebihnya di wilayah lain di Indonesia.

Bagi kes jangkitan baharu pula, angkanya juga menunjukkan peningkatan dengan merekodkan 13,695 lagi kes positif berbanding semalam 11,948.

Dengan perkembangan ini jumlah kumulatif kini meningkat kepada 1,037,993 kes dengan kes aktif 166,540 orang

Jumlah kes sembuh pula sebanyak 10,792 orang menjadikan jumlah pesakit pulih meningkat kepada 842,122 orang.

Related posts

Leave a Comment