Kos haji dijangka lebih RM30,000

KOTA BHARU 27 Nov. –  Kos mengerjakan haji dijangka meningkat kepada lebih RM30,000, naik sehingga 50 peratus berbanding sebelum ini RM23,000, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau berkata peningkatan itu disebabkan Cukai Nilai Tambah (VAT) yang diperkenalkan kerajaan Arab Saudi naik 15 peratus, berbanding lima peratus sebelumnya.

Bagaimanapun katanya, jumlah tepat yang akan diputuskan akan diketahui awal tahun hadapan sebelum dimaklumkan kepada bakal jemaah.

Selain peningkatan VAT, kos turut meningkat disebabkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu susulan pandemik Covid-19.

“Sebagaimana kita tegaskan sebelum ini, Tabung Haji akan menanggung sebahagian daripada jumlah kos, namun kita belum putuskan berapa banyak yang akan ditanggung,” katanya.

Sebelum ini kos mengerjakan haji adalah RM23,000, namun jemaah hanya dikenakan RM9,980  dan jumlah itu tidak pernah dinaikkan sejak 2001.

“Pada masa sama, kita juga berusaha untuk menyedarkan supaya bakal jemaah yang mampu dapat membayar penuh kos berkenaan,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran membabitkan 18 keluarga di Jalan Gajah Mati, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Marzuk berkata, kuota jemaah haji juga akan diketahui awal tahun depan.

Beliau berkata, pihaknya akur dengan segala keputusan yang dibuat kerajaan Arab Saudi sama ada mengekalkan kuota sedia ada iaitu 30,000 jemaah atau dikurangkan.

Related posts

Leave a Comment