Sabah belum capai imuniti kelompok

KOTA KINABALU 26 Nov. – Sabah belum mencapai imuniti kelompok atau 80 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin Covid-19 dengan pencapaian terkini 75.44 peratus atau 2,081,073 penduduk dewasa setakat kelmarin.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Masidi Manjun, berkata dalam tempoh yang sama, sebanyak 76.31 peratus atau 2,105,061  daripada jumlah penduduk dewasa sudah menerima satu dos vaksin.

Sementara kumulatif penduduk Sabah yang sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 setakat 24 November lalu adalah seramai 2,438,616 orang meliputi 2,105,061 penduduk dewasa atau 76.31 peratus.

Bagi penduduk yang menerima dos lengkap pula, seramai 2,387,066 orang direkodkan setakat kelmarin dengan 2,081,073 daripadanya atau 75.44 peratus penduduk dewasa.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, bagi program pemberian vaksin untuk golongan remaja, seramai 333,555 orang atau 76.86 peratus daripada golongan itu berusia 12 hingga 17 tahun sudah menerima satu dos vaksin.

Seramai 305,993 orang atau 70.51 peratus sudah lengkap dua dos vaksin.

Kerajaan negeri sebelum ini menyasar imuniti kelompok vaksin Covid-19 bagi penduduk dewasa di Sabah pada minggu pertama atau kedua November, namun statistik menunjukkan sasaran itu belum dicapai.

Situasi itu dipercayai masih terdapat daerah yang belum mencapai 80 peratus penduduk dewasa lengkap vaksinasi iaitu di Tawau, Sandakan, Kinabatangan dan Nabawan.

Related posts

Leave a Comment