48 kematian baharu Covid-19

PUTRAJAYA 26 Nov. – Kementerian Kesihatan melaporkan 48 kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 setakat tengah malam tadi menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 30,195 orang daripada 2.6 juta kes positif.

Menurut data di portal COVIDNOW, 10 daripada 48 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital (brought-in-dead atau BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu berikutan proses pengesahan sama ada pesakit meninggal dunia akibat Covid-19 mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 68,755 kes aktif Covid-19 di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 55,278 individu atau 80.4 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 7,422 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC),  5,539 kes dirawat di hospital dan 516 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 244 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 272 lagi memerlukan mesin ventilator.

Related posts

Leave a Comment