Ada pertambahan kes harian

PUTRAJAYA 2 Sept. – Jumlah kes harian Covid-19 di negara ini semalam terus meningkat dengan merekodkan 2,356 kes setakat tengah malam tadi berbanding 2,340 kelmarin dan 2,144 sebelumnya.

Menurut laman sesawang COVIDNOW, kes baharu yang dilaporkan itu membabitkan 2,351 kes penularan tempatan dengan lima lagi adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Perkembangan itu menjadikan sehingga kini jumlah penularan Covid-19 di negara ini mencecah 4,784,980 kes sejak ia dikesan di negara ini.

Setakat ini, terdapat sebanyak 31,463 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 dan daripada jumlah itu 95.6 peratus bersamaan 30,084 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Selain itu terdapat 1,285 kes atau 4.1 peratus sudah mendapatkan rawatan lanjut di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) (20), unit rawatan rapi (ICU) (74) dengan 46 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga kini kadar penggunaan wad ICU berada di paras 64.1 peratus bagaimanapun, yang digunakan untuk pesakit Covid-19 sahaja adalah 19.8 peratus.

Mengenai kematian pula, sebanyak sembilan kes dilaporkan semalam termasuk tiga kes meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan (BID).

Ini menjadikan sehingga kini jumlah kematian di negara ini sudah mencecah 36,225 kes dengan 7,699 kes pula meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan.

Bagi jumlah kes sembuh, setakat semalam terdapat sebanyak 1,875 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih daripada jangkitan berkenaan adalah 4,717,292.

Sementara itu, Selangor merekodkan kes harian tertinggi dengan mencatatkan 775 kes diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 479, Sabah 227, Perak 175, Negeri Sembilan 127, dan Pulau Pinang 104.

Negeri yang mencatatkan di bawah 100 kes adalah Melaka 97, Johor 86, Sarawak 62, Pahang 59, Kelantan 49, Kedah 42, Terengganu 28, Wilayah Persekutuan Putrajaya 25, Wilayah Persekutuan Labuan 11 dan Perlis 10.

Related posts

Leave a Comment