Austria laksana perintah berkurung

VIENNA: Austria menjadi negara Eropah Barat pertama melaksanakan semula perintah berkurung selepas proses vaksinasi berikutan peningkatan kes Covid-19 di negara itu.

Langkah itu menyaksikan penutupan premis perniagaan bukan kritikal, bar dan kafe selama 10 hari sebagai langkah kawalan mengelak penularan wabak menjelang musim sejuk tidak lama lagi.

Di samping itu, pemerintah Austria turut mengumumkan akan mewajibkan rakyatnya mendapatkan vaksin menjelang 1 Februari 2022.

Bagaimanapun dasar ini dijangka mendapat tentangan memandangkan majoriti rakyat menyuarakan keraguan terhadap vaksinasi.

Pada hujung minggu lalu, sekitar 40,000 penunjuk perasaan mengadakan bantahan di jalan raya utama Vienna bagi membantah pelaksanaan semula perintah sekatan itu.

Sehingga kini, satu pertiga daripada penduduk Austria masih belum divaksin.

Perangkaan tersebut adalah antara yang tertinggi di Eropah Barat.

Pihak berkuasa mengaitkan gelombang peningkatan kes baharu itu dengan golongan individu yang tidak divaksin.

Related posts

Leave a Comment