Dua pemimpin UMNO dikompaun

PUTRAJAYA 21 Nov. – Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Ab Rauf Yusoh dikompaun RM10,000 setiap seorang berikutan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Hasil siasatan mendapati, kedua-dua individu itu melanggar arahan SOP Pencegahan Covid-19 Bagi Pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 iaitu menjalankan aktiviti kempen ziarah rumah ke rumah serta tidak memakai pelitup muka di Masjid Tanah.

Kompaun di bawah Peraturan 16 P.U(A) 293/2021, Peraturan-Peraturan Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021 dikeluarkan.

Untuk makluman, SOP Pencegahan Covid-19 Bagi Pelaksanaan PRU DUN Melaka Ke-15 telah dikeluarkan lebih awal pada 7 November lalu sebagai rujukan agar semua pihak dapat memahami serta mematuhi SOP yang ditetapkan

Ini bagi memastikan pilihan raya dijalankan dengan lancar dan mencegah daripada berlakunya penularan jangkitan Covid-19.

Kementerian Kesihatan akan terus memantau pematuhan SOP dan tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada individu atau organisasi yang melanggar mana-mana SOP.

Sebelum ini, tular satu video di media membabitkan dua individu berkenaan yang dilihat berkempen dengan melanggar SOP ditetapkan.

Related posts

Leave a Comment