22 kes baharu di Brunei Darussalam

BERAKAS 16 Nov. – Angka jangkitan Covid-19 di Brunei Darussalam hari ini menunjukkan penurunan apabila merekodkan 22 kes baharu dengan dua kluster baharu melibatkan 16 kes.

Menteri Kesihatan Dr. Awang Md. Isham Jaafar berkata, dengan perkembangan ini, jumlah keseluruhan kes yang direkodkan setakat ini adalah 14,291.

Katanya, terdapat satu tambahan kes baharu pada satu kluster aktif sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat bersama beberapa kes positif sebelumnya.

Lima lagi kes baharu sedang dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Menurut Dr. Md Isham empat kluster – Derma Wangsa Cluster, Jodico Sdn Bhd Cluster, 3278 dan 8598 – telah ditutup berikutan tiada kes baharu direkodkan dalam tempoh 28 hari.

Dua kluster baharu pula adalah kluster kediaman termasuk berkaitan asrama pekerja.

Ini menjadikan jumlah kluster aktif sebanyak 158.

Beliau juga memaklumkan 68 kes dilaporkan sembuh yang membawa kepada jumlah keseluruhan 13,713 kes pulih dengan 480 kes aktif

”Dalam kalangan kes-kes yang sedang ada dalam rawatan sekarang, lima kes adalah dalam Kategori 5 dan sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif. Kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation),” katanya.

Dalam tempoh 24 jam lalu, sebanyak 4,981  sampel diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 566,587.

Related posts

Leave a Comment