Singapura perluas skim laluan VTL

SINGAPURA 15 Nov. – Singapura akan melanjutkan skim laluan perjalanan bagi penumpang divaksin (VTL) ke lebih banyak negara termasuk India, Indonesia, Qatar, Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu.

Menteri Pengangkutan S Iswaran berkata, Singapura berhasrat melancarkan VTL dengan India dan Indonesia mulai 29 November manakala dengan Qatar, Arab Saudi dan UAE mulai 6 Disember.

Bercakap pada sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian bagi Covid-19 hari ini,  Iswaran, berkata Singapura dan India sedang berunding tentang pengiktirafan bersama bagi sijil-sijil vaksinasi.

Sejak 12 November, India sudah mula mengiktiraf sijil-sijil vaksinasi yang dikeluarkan Singapura.

“Ini bermakna para pelawat lengkap divaksin dari Singapura yang memasuki India tidak lagi perlu menjalani ujian dan kuarantin sebaik tiba di negara itu, mereka hanya perlu memantau diri sendiri selama 14 hari selepas ketibaan,” kata  Iswaran.

MoH juga , mengemas kini penilaian kesihatan awam dan akan memasukkan India ke dalam Kategori 2 mulai 19 November.

Singapura kata Iswaran sedang berbincang dengan India tentang penyambungan semula khidmat penerbangan komersil penumpang yang dijadualkan.

Setakat hari ini satu-satunya penerbangan dari Singapura yang dibenarkan membawa penumpang ke India adalah pesawat-pesawat yang disewa pemerintah di bawah misi Vande Bharat.

Singapura menyasarkan untuk menyambung semula dua penerbangan VTL sehari ke Chennai, Delhi dan Mumbai menjelang 29 November.

Sehingga hari ini, Singapura sudah melancarkan 13 VTL termasuk Australia, Kanada dan Jerman. Singapura sebelum ini mengumumkan bahawa ia akan melancarkan VTL dengan Malaysia, Finland dan Sweden mulai 29 November.

Para pelawat di bawah VTL tidak tertakluk kepada Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik ketibaan sebaliknya, mereka perlu menunjukkan keputusan negatif ujian Covid-19 dua hari sebelum berlepas dan menjalani ujian PCR sebaik ketibaan.

Related posts

Leave a Comment