3,099 kes baharu di Singapura

SINGAPURA 13 Nov. – Sebanyak 3,099 kes baharu Covid-19 di Singapura dilaporkan setakat tengah hari semalam, Jumaat (12 Nov.) meningkat sedikit berbanding 2,396 yang dilaporkan pada Khamis.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), bagi tempoh yang sama, sebanyak 14 lagi pesakit meninggal dunia disebabkan komplikasi akibat jangkitan Covid-19 itu.

Dengan perkembangan ini, jumlah kes jangkitan yang direkodkan adalah 233,176 dengan jumlah kumulatif kematian pula 562 orang.

Daripada 3,099 yang direkodkan, sebanyak 2,965 adalah kes baharu dalam masyarakat, enam kes import, 128 kes baharu di asrama pekerja asing.

Mengenai kematian, individu terlibat adalah mereka yang berusia antara 35 – 102 tahun dan kesemua yang meninggal dunia, kecuali satu kes tidak divaksin serta mempunyai pelbagai penyakit sedia ada.

Pesakit berusia 35 tahun yang meninggal dunia tidak divaksin terhadap Covid-19 dan mempunyai beberapa komorbiditi serentak.

Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan pula naik kepada 1.04, berbanding 0.87 yang dicatat pada Khamis. Kadar itu merujuk kepada nisbah kes dalam masyarakat pada minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.

MoH menjelaskan kadar tersebut meningkat pada Jumaat ekoran “jumlah kes yang agak rendah semasa cuti umum Hari Deepavali minggu lalu”.

Sementara itu, seramai 1,616 pesakit masih dirawat di hospital di mana 280 memerlukan bantuan oksigen di wad biasa, 31 kes tidak stabil dan dipantau rapi di ICU, 75 tenat dan perlu intubasi di ICU. Kadar penggunaan ICU adalah 67 peratus.

Mengenai vaksinasi, sebanyak 85 peratus lengkap divaksin, 86 peratus menerima satu dos, manakala 19 peratus sudah disuntik dos penggalak.

Related posts

Leave a Comment