Thailand catat dua juta kes

BANGKOK 12 Nov. – Thailand menjadi negara keempat di rantau ASEAN yang merekodkan kes keseluruhan Covid-19 lebih 2 juta orang apabila 7,305 lagi kes baharu dilaporkan hari ini yang membawa kepada 2,004,274 kes.

Ketika ini Indonesia mendahului dengan merekodkan 4,250,157 kes diikuti Filipina 2,813,115 dan Malaysia 2,535,338 kes manakala Vietnam 1,000,897.

Kementerian Kesihatan Awam Thailand melaporkan kes harian turun sebanyak 191 kes berbanding sebelumnya sementara jumlah kematian pula 51 orang, kurang enam berbanding sebelumnya menjadikan jumlah keseluruhan 19,934 kematian.

Kes harian hari ini meliputi 7,294 kes jangkitan tempatan iaitu 6,651 disahkan di hospital, 323 melalui ujian dan 320 dari penjara manakala 11 kes import.

Sejak 1 April, gelombang ketiga Covid-19 bermula, Thailand merekodkan 1,975,411 kes di mana 1,861,110 dilaporkan pulih.

Sejak pandemik bermula awal tahun lalu, terdapat 2,004,274 kes Covid-19 dengan  1,888,536 dilaporkan sembuh.

Sementara itu, menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), 51 kes kematian yang direkodkan melibatkan mereka yang berumur antara 39 hingga 92 tahun terdiri daripada 49 warga Thailand, seorang Filipina dan Itali.

Bangkok merekodkan lima kematian di samping di wilayah lain termasuk di  Selatan (16), Timur Laut (7) dan Utara (9).

Bangkok juga mendahului kes harian dengan 674, Songkhla 475, Chiang Mai 434, Nakhon Si Thammarat 376 dan Pattani 355.

Sebelas kes import pula dari Jerman (1), Rusia (1), Qatar (2), Myanmar (2) dan Kemboja (5).

Pada Khamis 95,804 orang mendapatkan rawatan di hospital termasuk 1,824 pesakit kritikal dan 423 bergantung kepada alat bantuan pernafasan manakala 7,900 pesakit dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kes sembuh 1,888,536.

.

Related posts

Leave a Comment