3,035 kes baharu di Singapura

SINGAPURA 7 Nov. – Kementerian Kesihatan (MoH) melaporkan 3,035 kes baharu jangkitan Covid-19 di Singapura setakat tengah hari semalam menjadikan jumlah keseluruhan 215,780 kes.

Dalam kenyataan malam tadi, MoH juga memaklumkan jumlah kematian meningkat kepada 480 orang apabila 12 lagi pesakit berusia 60 hingga 98 tahun, meninggal dunia kerana komplikasi Covid-19.

Kesemua pesakit juga mempunyai sejarah penyakit sedia ada.

Menurut MoH, terdapat 2,928 kes baharu dalam kalangan masyarakat, lima kes import dan 102 kes baharu di asrama pekerja asing.

MoH juga menyatakan, kadar pertumbuhan jangkitan mingguan adalah 0.83, iaitu naik daripada 0.81 pada Jumaat, 5 November.

Kadar itu merujuk pada nisbah kes masyarakat dalam minggu lalu berbanding minggu sebelumnya dan ia merupakan hari keempat berturut-turut kadar itu berada di bawah 1, menunjukkan jumlah kes baharu Covid-19 merosot.

Sementara itu secara keseluruhannya, terdapat 1,666 kes di hospital di mana 299 memerlukan sokongan oksigen di wad biasa, 65 kes tidak stabil dan dipantau rapi di ICU dan 74 sakit tenat dan perlu intubasi.

Sebanyak 3,871 kes dibenarkan pulang dengan 550 adalah warga emas berusia 60 tahun dan ke atas.

Bagi program vaksinasi pula, sebanyak 85 peratus lengkap dua dos vaksin, dan 86 peratus menerima satu dos manakala 17 peratus sudah disuntik dos perangsang.

Related posts

Leave a Comment