Penampilan sulung Putra

MELAKA 6 Nov. – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membuat penampilan pertama dalam pilihan raya dengan menurunkan lima calon bagi bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Presiden Putra Ibrahim Ali mengumumkan calon parti itu pada sidang media secara maya hari ini dengan menamakan Pengerusi Badan Perhubungan Putra Melaka Dr Mohd Aluwi Sari, 55, ahli akademik yang akan bertanding di DUN Pengkalan Batu.

Turut sama Ketua Biro Wanita Putra Melaka Laila Norinda Maon,44, seorang usahawan untuk kerusi DUN Gadek dan Ketua Wira Putra Melaka Mohamad Hashidi Mohd Zin, calon termuda parti berusia 32 tahun untuk DUN Paya Rumput.

Dua Ketua Bahagian Putra Melaka iaitu Mohd Faizal Amzah, 44, dicalonkan di DUN Duyong serta Nazatul Ashraf Md Dom, 38 di DUN Sungai Rambai.

Ibrahim berkata kesemua calon tersebut dipilih berdasarkan kriteria tertentu iaitu latar belakang pendidikan, usia dan komitmen mereka dalam mendukung parti itu sebagai alternatif kaum Melayu dan Bumiputera.

“Paling utama ialah rekod calon-calon ini walaupun mereka belum bertanding namun rekod kehidupan mereka mestilah bersih, berakhlak tinggi dan bermoral.

“Mereka juga terdiri daripada golongan profesional dan usahawan selain usia kesemua calon ini dilihat seimbang dan sesuai untuk menjadi wakil rakyat dan berurusan dengan masyarakat,” katanya.

Semua calon Putra yang bakal bertanding pada PRN itu turut menandatangani surat Akuan Bersumpah (SD) dan membuat sumpah laknat pada pengumuman itu bagi mengelakkan tindakan ‘lompat parti’ selepas memenangi kerusi atas tiket parti itu.

[Foto atas kiri Mohamad Hadhidi,  Laila Norinda Maon, Dr Mohd Aluwi Sari (tengah),Mohd Faizal Amzah (bawah kiri) dan Nazatul Ashraf Md Dom]

Related posts

Leave a Comment