AYER KEROH 6 Nov. – Akhirnya persoalan ke mana hala tuju dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO, Idris Haron dan Nor Azman Hassan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka terjawab.
Walaupun DAP, sekutu PH menolak keterlibatan empat bekas ADUN itu, dua daripada mereka disahkan bakal bertanding di bawah tiket Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi PH, Anwar Ibrahim dalam sidang media pengumuman calon berkata,
Idris bakal dipertaruhkan di kerusi DUN Asahan, kerusi tradisi PKR manakala Nor Azman kekal bertanding di Pantai Kundor, kerusi tradisi Amanah.
Katanya, seperti dimaklumkan sebelum ini, agihan kerusi di dalam PH adalah lapan DAP, sembilan Amanah dan 11 PKR.
“Kerusi di Asahan yang bakal ditandingi Idris sememangnya kerusi PKR dan DUN Pantai Kundor pula adalah kerusi Amanah.
“Sememangnya ada persefahaman antara semua pihak dan meskipun mereka bakal bertanding dibawah tiket PH, kedua-dua mereka ini telah menyertai parti – parti komponen di dalam PH ini,” katanya.
Sebelum ini, Idris dan Nor Azman antara empat ADUN yang menyatakan hilang kepercayaan kepada kepemimpinan Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali yang menyebabkan DUN terpaksa dibubarkan sehingga PRN terpaksa diadakan.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata keputusan menerima dua bekas ADUN itu dibuat dengan teliti bersama semua rakan komponen.
“Perkara ini kami telah teliti secara mendalam tentang kesediaan kita menerima rakan (Idris dan Nor Azman), yang mana bukan sahaja boleh bersama mengharungi cabaran sebaliknya meletakkan asas pentadbiran kerajaan yang kukuh di Melaka selepas pilihan raya ini.
“Saya hendak tekankan bahawa kita tidak pernah mengambil sikap memusuhi semua tiga juta ahli UMNO mahupun ahli Pas, yang kita mahu tentang adalah pemimpin yang rakus dan penerimaan ini memberi ruang kepada kestabilan politik yang berwibawa,” tambahnya.
Berdasarkan pengumuman hari ini, tiga calon akan kekal bertanding di kerusi masing-masing yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) iaitu Gue Teck dari PKR di Klebang, Mohd Sofi Abdul Wahab (Amanah-Durian Tunggal) dan Adly Zahari (Amanah-Bukit Katil).
Bagaimanapun, Ginie Lim Siew Lin yang merupakan penyandang kerusi Machap Jaya tidak dicalonkan kali ini dan kerusi itu bakal ditandingi Law Bing Haw, 40, iaitu Naib Ketua Cabang PKR Kota Melaka.
Calon paling muda diumumkan hari ini ialah Farzana Hayani Mohd Nasir, 21, yang merupakan Ketua Srikandi PKR Melaka dan berkelulusan Diploma Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, bakal bertanding di Sungai Rambai.
